CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, January 14, 2011

Hakikat Kehidupan


Bagi seorang Muslim dia amat jelas daripada perkhabaran al Quran dan juga al Sunnah bahawa hakikat hidup dunia adalah satu perhentian untuk mencari bekal untuk satu kehidupan yang kekal abadi. Nak atau tak nak semua manusia akan menuju kepadanya.Dan semua manusia adalah sama, yang bezanya adalah sama ada dia tahu atau tidak hakikat ini dan apabila dia tahu yang bezanya pula adakah dia bersedia atau tidak untuk menghadapinya.
Kehidupan di dunia ini pada hakikatnya bukan tempat pembalasan sebenar walaupun kadangkala ia nampak macam dibalas baik mereka yang melakukan kebaikan dan dibalas buruk bagi mereka yang melakukan kejahatan. Hakikat sebenar hidup dunia ini adalah tempat ujian dan Allah menjadikan segala bentuk kenikmatan sebagai perhiasan untuk menguji manusia siapakah yang paling baik amalannya.
“Sesungguhnya Kami telah menjadikan segala apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka siapakah yang paling baik amalannya” (al Kahfi 7)
Perhiasan dan Ujian adalah dua perkara yang sinonim, untuk membezakan dan mengkategorikan siapa yang melaluinya. Ada manusia yang tenggelam di dalam perhiasan itu sehingga menyangka bahawa itulah hakikat kehidupan dan tidak ada kehidupan yang lain selainnya(hakikat mereka yang tidak beragama). Ada manusia yang mengetahui adanya kehidupan yang lain selepas ini tetapi tidak mengetahui jalan yang betul untuk menghadapi Ujiantersebut menyebabkan dia juga sesat di dalam Perhiasan itu(inilah hakikat hidup penganut agama selain Islam) . Ada pula manusia yang meyakini adanya kehidupan selepas mati dan mengetahui bahawa dunia ini adalah ujian Allah secara umum, tetapi tidak tahu bagaimana cara ditil yang selamat untuk berjaya menghadapi ujian tersebut( kebanyakan mukmin yang jahil tentang agama), mereka juga akan tenggelam dalam perhiasan yang amat menguji seseorang. Ada pula manusia yang mengetahui semuanya tentang hakikat tersebut tetapi dek kerana Perhiasan itu amat mengujanya dan dek kerana hakikat dirinya yang kalah dengan runtunan nafsu menyebabkan dia menyerah kepadanya( mukmin yg derhaka- ‘Asi -kepada Allah),  dan ada pula di kalangan mereka yang tenggelam timbul sekali kalah, sekali menang dan itulah kebiasaan seorang mukmin… dalam berhadapan dengan nafsu dan syaitan…
Kehidupan Adalah Ujian…

Pada hakikatnya semua manusia seolah-olah berada di dalam dewan peperiksaan yang besar yang meliputi alam semesta. Tak kira dia itu seorang pemerintah atau rakyat jelata, seorang alim atau jahil, seorang kaya atau miskin, kesemuanya berada didalam dewan itu dan kesemuanya akan mendapat keputusan sama ada lulus atau gagal.Di sana ada pemerhati yang senentiasa mencatat setiap tingkah lakunya sama ada kecil atau besar :
” Tidak menutur satu kata-kata pun melainkan di sisinya Raqib dan Atid (yg mencatat segala-galanya)” Qaf:18
Begitu juga segala anggota badannya menjadi saksi di atas perbuatannya. Termasuk bumi tempat dia berpijak dan sesama manusia akan menjadi saksi antara satu sama lain dan akhirnya Allah Maha menyaksi atas segala sesuatu…
Tempuh…

Bermula daripada seseorang itu diTaklifkan (berakal dan cukup umur) sehinggalah ke saat kematiannya hakikatnya seorang itu berada di dalam peperiksaan. Bezanya kita dengan seorang pelajar, seorang pelajar mengetahui bila tempuh akhir ujian tersebut sedangkan manusia pada bila-bila masa sahaja loceng Izrail akan dibunyikan menandakan tamatnya tempuh ujian tersebut…
Andaikata seorang pelajar tidak diberitahu bila tempuh tamat ujian dan pada bila-bila masa saja kertas ujiannya akan dipungut nescaya dia akan menggunakan setiap saat  serta akan memerahkan segala usahanya yang ada untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat tanpa melengahkan dengan apa-apa yang tidak berkaitan dengannya. Begitulah halnya keadaan  seorang  Muslim apabila dia faham dan sedar tentang Hakikat kehidupan ini. Yang penting baginya adalah kejayaan… yang penting baginya lulus… tak kira apa bentuk soalannya dan berapa banyak yang  akan ditanya serta senang atau susah soalannya… yang penting lulus dan jauh daripada kegagalan…
Peralatan ujian
Seorang pelajar peralatan ujiannya adalah pen, pemadam,serta diagihkan kepadanya kertas-kertas soalan dan disediakan kertas jawapannya. Adapun manusia peralatan ujiannya di alam buana ini adalah segala yang dimilikinya, tubuh badannya, masa dan umurnya, hartanya,ilmunya bahkan segala tenaga dan keupayaan yang dikurniakan kepadanya…Itulah peralatan yang digunakan untuk menjawab soalan dengan betul dan tepat…
Skop soalan
Ruang lingkup soalan yang manusia akan menghadapi dalam ujian hidupnya amat luas yang boleh kita simpulkan seperti berikut:
1- Segala perintah dan kefardhuan yang mesti dilakukan…
2- Segala larangan dan perkara yang haram yang mesti dijauhi..
3- Segala nikmat dan kurniaan yang wajib disyukuri… dan
4- Segala kesusahan dan kepayahan yang wajib bersabar dalam menghadapinya…
Kejayaan…
Orang yang akan berjaya hanyalah orang yang dirahmati oleh Allah yang mengikuti Petunjuk Nabi s.a.w. dalam menghadapi kesemuanya itu tanpa lemah atau melampau tanpa mengira daripada golongan mana dia datang. Jika dia daripada pemimpin atau pemerintah maka jawapan yang betul bagi kedudukannya ialah berlaku adil serta menghindarkan segala bentuk kezaliman terhadap mereka yang di bawah pinpinannya . Jika dia ditakdirkan kaya oleh Allah maka dia bersyukur dengan menafkahkan hartanya di jalan yang di tunjuki oleh Muhammad s.a.w. tanpa dipengaruhi sifat bakhil yang bersemi di jiwa. Jika dia Alim dan diberi ilmu oleh Allah dia amanah dengan ilmunya tanpa merasa takut dengan celaan orang yang mencela.Begitulah seterusnya jika dia ditakdirkan miskin atau susah maka jalan kejayaan bagi situasi ini adalah bersabar dengan apa yang dihadapinya serta berusaha mencari sebab dan musabbab untuk melepasi kepayahan itu.Jika berjaya keluar dari kesusahan itu kita bersyukur dan jika tidak kita terus bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi yang mungkin menginginkan KEJAYAAN bagi kita dalam bentuk sedemikian… ” Dan KEBAIKAN AKHIRAT ITU LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL ABADI…” al A’la:17

Semoga kita semua berjaya di dalam menghadapi ujian ini yang tidak diketahui bilakah penghujungnya…

No comments:

Post a Comment